Monday, December 21, 2009

Kemahiran Meliterasi Media : Keperluan yang dilupakan



Media merupakan salah satu medium yang sangat penting pada masa kini dalam menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat umum. Penggunaan medium ini dilihat dilaksanakan secara maksimum oleh pihak-pihak tertentu umpamanya pihak kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan informasi kepada masyarakat dan rakyat. Begitu juga dengan pelbagai agensi dan pihak tertentu yang melihat keberkesanan dan pengaruh media ini kepada masyarakat.

Instrumen Media Masa Kini

Satu demi satu bentuk dan alat komunikasi yang tumbuh pada akhir-akhir ini umpamanya facebook,twitter,blog dan sebagainya yang mana fungsi dan tujuan dicipta adalah tidak lain dan tidak bukan mempunyai agenda yang sangat penting antaranya mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap sesuatu perkara yang ingin dibawa oleh individu yang mengamalkan medium ini. Dalam satu kajian yang berkaitan dengan pengamalan media baru ini,peratus kesedaran penggunaan media baru sangat tinggi iaitu hampir 92% dan golongan yang berumur di kalangan 18 hingga 35 tahun mendominasi dan mengamalkan medium ini. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang dilihat terlepas pandang oleh masyarakat Malaysia khususnya iaitu bagaimana meliterasi media .



Apa itu literasi media?

Saya datangkan contoh “ surat khabar iaitu salah satu bentuk media tradisional, dibeli oleh seseorang individu dan beliau membaca akhbar tersebut dengan memahami dan dapat menilai keabsahan maklumat tersebut.” Baiklah, proses yang dilakukan oleh individu tersebut dalam menilai maklumat tersebut adalah literasi media. Tidak dinafikan bahawa peratus penggunaan internet amat tinggi namun kegagalan dalam menilai dan menganalisis maklumat dengan tepat adalah sangat berkurangan dan dikatakan juga dalam kajian tersebut hanya sekitar 30-40% sahaja.

Penguasaan Media Baru

Sebagai seorang mahasiswa yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang, sangat wajar kepada kita untuk menguasai dan memanfaatkan media baru ini. Walaupun Malaysia dikatakan hampir keseluruhan penduduknya bijak dalam menggunakan internet,namun satu keperluan yang mungkin terlepas pandang adalah bagaimana mengurus dan menilai maklumat yang diterima. Selain itu,penggunaan media baru juga perlu bijak dan tidak melepaskan walaupun sedikit manfaatnya. Lihat sahaja Burkina Faso,sebuah negara yang agak terkebelakang berbanding Malaysia,berjaya memanfaatkan media baru ini dengan berjaya memasarkan produk mereka hingga ke antarabangsa. Jika mereka berjaya memahami dan memanfaatkan fungsi dan peranan media baru ini, mengapa tidak kita,yang bergelar mahasiswa intelektual,menjadikan medium ini sebagai instrument utama dalam menyampaikan maklumat yang benar dan sahih kepada masyarakat.

Konklusi

Mahasiswa yang bijak adalah mahasiswa yang bijak menilai sesuatu perkara khususnya dalam bacaan media masa kini. Tidak dinafikan kehebatan propaganda media pada masa kini sangat kuat,namun ia bukanlah alasan untuk kita tidak mempelajari dan menguasai media pada masa kini. Lebih bermakna lagi apabila kita dapat mengimbangi peratusan penggunaan internet dengan kemahiran meliterasi media dengan baik. Maka tidak mustahil,akan lahirlah masyarakat yang lebih bijak dan cerdik pada masa akan datang. Namun,sekiranya mahasiswa masih malas dan tidak berusaha untuk mempelajari ilmu-ilmu ini,khususnya dalam ilmu media ini,cubalah bayangkan apalah yang akan berlaku pada masa hadapan?apakah kita ini masih ditipu dan terus ditipu dan diperdayakan dengan mudah??Fikirkanlah bersama…
Friday, December 18, 2009

Mahasiswa perlu mengubah paradigma

Awal Muharam menjelang tiba. Hampir 1431 tahun Rasulullah s.a.w telah meninggalkan kita di dalam meneruskan perjuangan menegakkan Islam di atas muka bumi ini. Siri-siri perjuangan Rasulullah s.a.w dahulu wajar di ambil pengajaran oleh umat Islam pada masa kini di dalam merebut hikmah yang tersembunyi disebalik setiap peristiwa tersebut dan mengaplikasikannya di dalam kehidupan masa kini.

Rahsia di sebalik hijrah Rasulullah

Umum mengetahui bahawa tanggal 1 Muharam, Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar,sahabat karib baginda berhijrah ke Madinah atas perintah Allah dalam melebar luaskan Islam dan menubuhkan Negara Islam pertama di sana. Namun,wujud strategi-strategi yang Rasulullah gunakan dalam meneruskan perjalanan ke Madinah. Antaranya, mengapa Rasulullah memilih Abu Bakar sebagai peneman baginda? Ini adalah kerana Abu Bakar adalah pakar di dalam mengenal pasti kedudukan dan koordinasi penduduk Mekah pada waktu itu. Maka, sudah tentulah pergerakan baginda dan Abu Bakar pada malam baginda keluar untuk berhijrah menjadi lebih mudah dan teratur serta aman daripada gangguan dan ancaman musuh..dan terdapat lebih banyak lagi rahsia-rahsia dan kebijaksanaan baginda dalam mengatur strategi di dalam melaksanakan sesuatu dan perkara ini boleh dirujuk di dalam Manhaj Haraki tulisan Syeikh Munir Ghadhban..

Keperluan mahasiswa berfikiran Lateral

Melihat kepada kebijaksanaan baginda di dalam melakukan setiap perkara, maka, tidak dapat tidak, mahasiswa/i khususnya mahasiswa Islam sewajarnya mengambil setiap hikmah yang baginda tinggalkan untuk dilaksanakan dan diaplikasikan pada masa kini. Baginda tidak terburu-buru di dalam melaksanakan sesuatu dan baginda juga mempunyai visi yang jelas dalam setiap perkara yang dilakukan. Perkara ini perlu dicontohi oleh mahasiswa/i Islam pada masa kini di dalam menongkah arus cabaran yang dilalui oleh umat Islam di dalam menegakkan Islam pada zaman ini. Mahasiswa mesti cepat berfikir dan cepat bertindak dan melakukan sesuatu bukan mengikut emosi semata-mata tetapi bersandarkan kepada ilmu dan fakta yang tepat. Mahasiswa/i juga perlu berusaha untuk mengeluarkan idea yang lebih kreatif dan bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan tidak seharusnya menjadikan jawapan bagi persoalan yang sama diteruskan. Lebih bijak lagi,sekiranya di datangkan idea baru dalam menyelesaikan fakta tersebut.

Azam Baru 1431 Hijrah

Datangnya tahun baru, maka setiap insan pastinya mempunyai azam baru di dalam memajukan diri kearah lebih terkehadapan lagi. Maka,mahasiswa/i Islam khususnya memanfaatkan azam dan semangat tahun baru hijrah ini dengan memperkuatkan tenaga dan usaha di dalam menambah thaqafah dalam diri dan menyediakan keperluan-keperluan yang perlu ada dalam setiap mahasiswa Islam sebelum turun ke masyarakat untuk dimanfaatkannya. Teringat kata-kata ulama “ Orang yang baik adalah apabila di campakkan ke laut menjadi pulau, dan apabila dicampak ke tanah menjadi bukit”..teringat juga keluhan seorang tok guru salah sebuah pondok “ sedih melihat umat Islam zaman sekarang,tidak sedar bahawa mereka telah ditipu dan diperdayakan oleh syaitan nyata dan tidak nyata,maka menjadi satu kewajipan masyarakat Islam yang faham dan jelas tentang Islam untuk memberikan kefahaman kepada mereka yang telah diperdayakan”..Justeru, manfaatkanlah azam tahun baru ini dengan berusaha bersungguh-sungguh supaya menjadi seorang mukmin yang berjaya dan berguna untuk Islam untuk masa hadapan.

Sunday, November 1, 2009

Rindu dan Cinta hanya untuk Allah

Berbicara tentang rindu dan cinta, tidak dapat lari daripada soal hati dan rasa. Ya, rindu dan cinta letaknya di hati – raja dalam kerajaan diri manusia. Sabda Rasulullah saw:
“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”
Riwayat Al-Bukhari

Ini bermakna, rindu dan cinta yang harus bersemi di hati mestilah rindu dan cinta yang ‘baik’. Barulah hati akan menjadi baik, dan seluruh anggota jadi baik. Tapi jika rindu dan cinta itu ‘jahat’ maka jahatlah hati. Akibatnya jahatlah seluruh anggota. Kata orang, “berhati-hatilah menjaga hati.” Jangan dibiarkan hati itu penuh dengan rindu dan cinta yang salah… akibatnya terlalu buruk.

Umpama menyerahkan kepimpinan negara kepada seorang yang jahat. Kita tentu tahu apa akibatnya bukan? Pemimpin yang jahat akan melakukan kemungkaran, penzaliman, rasuah dan lain-lain kejahatan yang akan menghancurkan sebuah negara. Maka begitulah hati yang jahat, akan menyebabkan seluruh diri kita terarah kepada kejahatan. Jadi, berhati-hatilah menjaga hati dengan berhati-hati memberi cinta dan rindu.

Sebenarnya, pada siapa kita harus cinta? Pada siapa kita mesti rindu? Mungkin ada diantara kita yang tertanya-tanya. Pada kekasih hati? Atau si dia yang sentiasa diingati. Oh, bukan, bukan… Sebenarnya hati setiap manusia secara fitrahnya mencintai dan merindui Allah. Kenapa dikatakan begitu? Dan benarkah begitu? Baiklah, mari kita fikirkan dan renungkan bersama…

Setiap hati inginkan kasih-sayang, keadilan, kekayaan, keindahan dan lain-lain sifat yang mulia, baik dan sempurna. Tidak ada seorang manusiapun yang tidak inginkan kebaikan, kemuliaan dan kesempurnaan. Ketika dilanda kemiskinan, manusia inginkan kekayaan. Ketika dipinggirkan, kita inginkan kasih-sayang. Ketika dizalimi, kita inginkan keadilan. Baiklah, hakikat itulah bukti yang sebenarnya manusia cinta dan rindukan Tuhan. Justeru, Tuhan sahaja yang memiliki segala-gala yang diingini oleh manusia.

Bukankah Allah memiliki kekayaan yang diingini oleh si miskin? Allah mempunyai kasih sayang yang diidamkan oleh mereka yang terpinggir. Allah Maha Adil dan mampu memberi keadilan yang didambakan oleh yang tertindas. Oleh kerana itulah Tuhan mempunyai nama-nama yang baik (Asmaul Husna), yang menggambarkan keindahan, keadilan, kasih-sayang yang segala sifat kesempurnaan-Nya. Diantara nama-nama Allah itu ialah Al Adil (Yang Maha Adil)? Al Ghani (Maha Kaya)? Ar Rahman (Maha Pengasih)? Dan Ar Rahim (Maha Penyayang)?

Sebutlah… apa sahaja keinginan manusia tentang kebaikan dan kesempurnaan, maka di situ sebenarnya (secara langsung ataupun tidak), manusia sedang merindui dan mencintai Allah. Inilah rasa yang tidak dapat dihapuskan. Selagi manusia punya hati dan perasaan. Rasa bertuhan inilah yang menurut Imam Ghazali, tidak akan dapat dinafikan oleh hati sekalipun kerap dinafikan oleh sifat keegoan manusia.
Inilah benih rindu dan cinta yang telah dibina (‘install’) secara fitrah (tabie) dalam diri setiap manusia sejak di alam roh lagi. Firman Allah:
“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.”
Al-A’raf : 172

Bahkan, pakar-pakar psikologi manusia juga turut mengakui. Manusia sebenarnya mempunyai keinginan kepada suatu kuasa yang dapat mengatasi segala kekurangan dan kelemahan. Ini memang satu naluri yang semulajadi.

Prof Dr Ramachandran dari California University misalnya, telah menemui ‘Titik Tuhan’ – ‘God Spot’ dalam sistem otak manusia yang sentiasa mencari makna kehidupan – asal-usulnya, apa maksud kedatangannya ke dunia, dan ke mana akan pergi selepas mati. Dan di hujung semua persoalan itu pasti manusia akan menemui kewujudan Tuhan. Inilah hakikatnya pencarian dan kembara manusia. Inilah asas segala kerinduan dan cinta!

Jadi sedarlah. Apabila hati kita resah dan gelisah inginkan pembelaan, hakikatnya pada ketika itu hati kita sedang merindui yang Maha Adil. Ketika kasih-sayang terputus atau cinta terkandas, kita inginkan sambungan… maka ketika itu sebenarnya kita sedang merindui Ar Rahman dan Ar Rahim (Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang). Ketika bersalah, kita merintih inginkan keampunan dan kemaafan, maka pada saat itu kita sebenarnya merindui Al Ghafar (Pengampun) dan mencintai Al Latif (Maha Lembut).

Semua keinginan itu hanya akan dapat dipenuhi apabila manusia merapatkan dirinya kepada Allah. Allah yang punya segala-galanya itu. Allah sentiasa mahu dan mampu memberi apa yang diinginkan oleh setiap manusia. Firman Allah:
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan neraka Jahanam dalam keadaan hina.”
Al-Mukmin : 60

Menerusi nama-nama Allah yang baik inilah seharusnya kita merintih, merayu dan memohon kepada Allah. Firman Allah:
“Allah memiliki Asmaa’ ulHusna, maka memohonlah kepadaNya dengan menyebut nama-nama yang baik itu…”

Al A’raaf : 180

Manusia hakikatnya tidak punya apa-apa yang diingini oleh manusia lain. Mereka mungkin mahu memberi, tetapi tidak mampu. Ada pula yang mampu memberi tetapi tidak mahu melakukannya. Mungkin hartawan punya harta, tetapi dia tidak punya sifat pemurah. Mugkin ada si miskin punya hati yang pemurah, tetapi tidak memiliki harta yang dipinta oleh si miskin yang lain. Tegasnya, manusia tidak sempurna. Hanya Tuhan yang mempunyai segala apa yang diinginkan oleh seluruh manusia.

Ya, ditegaskan sekali lagi bahawa keinginan manusia kepada satu kuasa yang Maha sempurna ini adalah lanjutan daripada ‘perkenalan’ dan ‘percintaan’ manusia dengan Allah di Alam Roh lagi (yakni alam sebelum alam dunia ini) . Bukankah sejak di alam roh lagi manusia telah mengetahui dan mengakui akan kewujudan dan keagungan Allah. Firman Allah:
“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.”
Al-A’raf : 172

Itulah pertanyaan Allah sekaligus keakuran roh manusia atas pertanyaan itu. Ya, ketika itu semua roh manusia telah mengenali Allah. Bukan itu sahaja, bahkan roh manusia telah mengakui Allah sebagai pemilik, pentadbir dan pengatur alam ini. Inilah yang dimaksudkan cintakan Allah itu adalah fitrah setiap hati. Tetapi soalnya, mampukah cinta itu terus suci dan abadi di dalam hati setiap manusia?

Sungguhpun begitu, perkenalan dan percintaan manusia dengan Allah di alam roh itu kerap tercemar. Sebaik sahaja lahir ke alam dunia, manusia yang dulunya begitu mengenali dan mencintai Allah mula dipisahkan daripada kecintaan dan kerinduannya itu. Yang sejati luntur, yang ilusi muncul. Perkenalan dengan Allah mula dicemari. Manusia mula dipisahkan dari Tuhan. Dan amat malang, kerapkali yang memisahkan anak-anak daripada Allah ialah ibu-bapa anak-anak itu sendiri. :
“Setiap anak-anak dilahirkan putih bersih, kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.”

Justeru, untuk mengelakkan agar cinta yang suci itu tidak terus dikotori… maka awal-awal lagi apabila seorang bayi dilahirkan, dia terlebih dahulu diazankan dan diiqamatkan. Inilah usaha awal untuk meneruskan perkenalan bayi itu dengan Allah. Tidak cukup sekadar itu sahaja, malah para ibu-bapa juga wajib mengenalkan kepada anak-anak mereka segala sifat kesempurnaan Allah secara mudah tetapi konsisten. Sabda Rasululah:
“Awal-awal agama ialah mengenal Allah.”

Alangkah indahnya jika semua itu berjalan lancar. Sejak kecil lagi putik cinta dan rindu Allah itu tumbuh, berbunga dan akhirnya berbuah apabila menjelang dewasa. Malangnya, ramai anak tidak diperkenalkan kepada Allah oleh ibu-bapanya. Sebaliknya, didedahkan kepada unsur-unsur yang melindungi kebesaran Allah. Seringkali, didikan, ajaran, malah lagu, filem, bahan bacaan yang didedahkan kepada anak-anak menggugat perkenalannya dengan Allah.

Akibatnya, kerinduan dan kecintaan yang sedia ada di alam roh itu tidak bersambung, bahkan tercemar. Cinta terputus di tengah jalan. Setiap manusia memiliki hanya satu hati, tidak dua, tidak tiga. Bila cinta Allah dicemari, cinta yang lain datang mengganti. Dua cinta tidak akan berkumpul di dalam satu hati. Hanya satu cinta akan bertakhta di dalam satu jiwa. Bila cinta Allah terpinggir maka terpinggir jugalah segala kebaikan dan kesuciannya. Maka yang tumbuh selepas itu ialah cinta selain Allah seiring suburnya segala kejahatan dan kekejiannya!

Bagaimanakah caranyanya membersihkan semula hati yang telah dicemari dan diracuni? Cukupkah hanya dengan ucapan dan penyesalan? Ya, usaha untuk membersihkan hati adalah usaha yang sukar. Tetapi hanya itulah satu-satunya jalan. Tidak ada jalan mudah untuk mendapat cinta itu semula. Setiap cinta menagih pengorbanan. Begitulah jua cinta Allah. Sabda Rasulullah:
“Iman itu bukanlah angan-angan, bukan pula ucapan, tetapi sesuatu yang menetap di dalam dada, lalu dibuktikan dengan perbuatan.”

Perjuangan itu pahit, kerana syurga itu manis. Kecintaan kepada Allah terlalu mahal. Bayangkan untuk mendapat cinta seorang wanita yang rupawan, jejaka yang hartawan, putera yang bangsawan, itupun sudah terlalu sukar, maka apatah lagi untuk mendapat cinta Allah zat yang Maha Agung dan Maha Sempurna itu.

Siapa tidak inginkan kecantikan, harta, nama dan kuasa? Semua itu mahal harganya. Namun semua itu tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan cinta Allah – sumber segala kekayaan, kecantikan, kuasa dan keagungan. Cintakan gadis yang cantik, kecantikan akan luntur. Cintakan harta yang banyak, harta akan musnah atau ditinggalkan. Cinta pada kuasa, suatu hari pasti dijatuhkan atau berakhir dengan kematian.

Namun cinta Allah, adalah cinta yang hakiki, sejati dan abadi. Keindahan Pencipta (Khalik) tidak akan dapat ditandingi oleh ciptaannya (makhluk). Keagungan, kekuasaan dan kekayaan Allah akan kekal abadi selamanya. Bila kekasih di kalangan manusia sudah berpaling, maka sedarilah bahawa Allah tetap melihat dengan pandangan rahmat-Nya. Apabila kita mencintai Allah, kita hakikatnya akan memiliki segala-galanya. Inilah cinta yang tidak akan terpisah oleh kejauhan, kematian dan kemiskinan. Sebaliknya bila kita kehilangan cinta Allah, kita sebenarnya telah kehilangan segala-galanya.

Sekiranya kita telah disukai oleh seorang raja, maka anda akan turut disukai oleh pelayan-pelayannya, dikurniakan pangkat, dijamin makan-minum, bebas di bergerak di istananya dan macam-macam lagi kurniaannya. Maka begitulah sekiranya seorang yang mencintai Allah. Para malaikat akan menjaganya. Orang-orang soleh turut mendoakannya. Rezkinya akan dipenuhi dengan segala kecukupan dan keberkatan. Apa nak dihairankan? Bukankah ‘talian hayat’ kekasih-kekasih Allah ini sentiasa terhubung kepada satu kuasa yang tiada tolok bandingnya!

Hadis Qudsi:
Allah swt berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.”

(Sahih Bukhari)

Namun begitu, seperti yang ditegaskan sebelumnya, cinta Allah yang begitu agung dan suci, pasti ada tagihannya. Jalan mencintai Allah tidak semudah yang disangkakan. Sudah adat, setiap yang mahal, sukar mendapatkannya. Bandingannya seperti pasir dengan permata. Pasir, murah harganya… kerana ia boleh dicari di merata-rata. Sebaliknya, permata begitu tinggi nilainya, maka perlu menyelam ke dasar lautan untuk mendapatkannya.

Tidak ada kesukaran, tidak ada ganjaran. Begitulah jua dengan cinta Allah yang hakikatnya jauh lebih tinggi nilainya daripada intan atau permata. Justeru, pasti ada ‘harga’ atau mahar yang mahal terpaksa dibayar untuk mendapatkannya.

Untuk mendapat cinta Allah kita perlu berkorban. Cinta dan pengorbanan sudah sinonim dan tidak sekali-kali dapat dipisahkan. Kita perlu membayar harga cinta itu dengan segala yang ada pada kita – masa, tenaga, harta bahkan nyawa. Namun apa yang lebih penting bukanlah masa, tenaga atau sesuatu yang berbentuk lahiriah. Itu cuma lambang sahaja. Yang lebih penting ialah hati di sebalik pengorbanan itu.

Lihat sahaja hati yang dimiliki oleh Habil berbanding Qabil dalam pengorbanannya untuk Allah. Hati yang bersih akan mengorbankan sesuatu yang terbaik untuk Allah. Lalu kerana ketulusan hatinya, Habil mengorbankan hasil ternakannya yang terbaik untuk Allah. Manakala Qabil pula menyerahkan hasil pertanian yang kurang bermutu untuk membuktikan cintanya yang tidak seberapa. Lalu ini menjadi sebab, Allah menolak pengorbanan Qabil, sebaliknya menerima pengorbanan Habil.

Kita bagaimana? Sudahkah kita mengorbankan segala yang terbaik hasil dorongan hati yang baik? Ke manakah kita luangkan masa, usia, tenaga, harta kita yang terbaik? Untuk kebaikan yang disuruh oleh Allah atau ke arah kejahatan yang dilarang-Nya? Tepuk dada tanyalah hati, apakah ada cinta yang mendalam di dalam hati itu?

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya ALLAH tidak melihat gambaran lahir amalan kamu dan rupa kamu tapi ALLAH melihat hati kamu”.
Riwayat Muslim

Pengabdian kita kepada Tuhan adalah bukti cinta kepada-nya. Pepatah Arab mengatakan:
“Setiap orang menjadi hamba kepada apa yang dicintanya.”

Maksudnya, pengabdian adalah umpama ‘hadiah’ yang kita ingin berikan kepada Allah sebagai bukti cinta kita. Ia mesti didorong oleh hati yang bersih. Tidak dicemari riyak dan syirik. Maha suci Allah daripada dipersekutukan oleh hamba-Nya dengan sesuatu. Jika amal itu dicemari oleh kekotoran hati – riyak (syirik kecil), sifat menunjuk-nunjuk, syirik besar – mempersekutukan Allah) maka amalan itu tidak bernilai walaupun ia seluas lautan atau setinggi gunung.

Sebaliknya, jika hati seseorang itu ikhlas, amalnya yang sekecil manapun akan menjadi besar dan bernilai di sisi Allah. Insya-Allah, ‘hadiah’ itu akan diterima oleh Allah. Firman Allah:
“Barang siapa yang ingin menemui Tuhannya, hendaklah dia beramal soleh dan tidak mempersekutukan Allah dengan amalannya itu.”
Surah Al-Kahfi: 110

Hakikatnya Allah Maha Kaya dan DIA tidak mengkehendaki apa jua manfaat daripada hamba-hamba-Nya sekalipun amalan dan kebaikan yang mereka lakukan. Maha Suci Allah daripada bersifat miskin – punya keinginan untuk mendapat manfaat daripada para hamba-Nya. Amalan dan kebaikan yang dilakukan oleh manusia bukan untuk Allah tetapi manfaat itu kembali kepada manusia semula.

Bila kita solat misalnya, solat itu manfaatnya akan dirasai oleh kita juga. Firman Allah:
“Sesungguhnya sembahyang itu akan mencegah daripada kemungkaran dan kejahatan.”

Surah Al-Ankabut: 45

Ya, solat akan menyebabkan kita terhalang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Itulah manfaat solat. Itu amat berguna kepada diri manusia. Manusia yang baik akan dikasihi oleh manusia lain. Hidup yang selamat daripada kemungkaran dan kejahatan, adalah hidup yang tenang, aman dan bahagia.

Begitu juga apabila Allah menyuruh kita melakukan sesuatu atau melarang kita melakukannya, itu adalah kerana Allah ingin berikan kebaikan kepada kita bukan untuk-Nya. Inilah rasionalnya di sebalik pengharaman riba, arak, zina, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan lain-lain. Susah atau senangnya untuk manusia bukan untuk Allah. Tegasnya, jika patuh, manfaatnya untuk manusia. Jika engkar, mudaratnya juga untuk manusia.

Namun, walau sesukar mana sekalipun kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah, kita akan merasa mudah jika Allah sendiri memberi bantuan-Nya. Jika Allah sudah permudahkan, walaupun seberat mana sekalipun, kita akan mampu mengatasinya. Allah akan permudahkan kita dengan mengurniakan sifat sabar, istiqamah, syukur dan redha kepada-Nya. Lihatlah sejarah perjuangan para Rasul dan nabi serta sahabat-sahabat Rasulullah… kita akan tertanya-tanya mengapa mereka sanggup menderita, tersiksa bahkan terkorban nyawa untuk mendapat cinta Allah?

Renungilah betapa Sumayyah rela mengorbankan nyawanya. Begitu juga Mus’ab bin Umair, Hanzalah, Jaafar bin Abi Talib, Abdullah ibnu Rawahah… mereka semuanya telah syahid di jalan Allah. Apakah itu susah buat mereka? Mereka sangat menghayati apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Jagalah Allah, nescaya engkau akan temukan DIA di hadapanmu. Kenalilah Allah ketika dalam keadaan lapang nescaya DIA akan mengenalmu dalam keadaan sempit. Ketahuilah segala sesuatu yang luput daripadamu tidak akan menimpamu dan sesuatu yang menimpamu tidak akan dapat luput darimu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu menyertai kesabaran, kelapangan itu menyertai kesempitan dan kemudahan itu menyertai kesukaran.”
Riwayat Ahmad, Hakim, Thabrani, Ibnu Sunni, Ajiri dan Dhiya’

Mereka sesungguhnya merasa bahagia dalam mengharungi penderitaan, merasa mulia dengan mengorbankan nyawa. Ini semua mudah buat mereka kerana Allah telah melembutkan hati-hati mereka. Benarlah bila hendak seribu daya, bila mahu sejuta cara. Kemahuan dan keinginan mereka itu hakikat didorong oleh Allah. Untuk itu, mintalah simpati dari Allah untuk memudahkan kita mendekatkan diri kepada-Nya.

Bagaimana memohon simpati daripada Allah? Tidak lain dengan cara berdoa kepada-Nya. Doa itu adalah senjata orang mukmin. Maksudnya, doa ialah alat atau ubat yang paling mustajab dan mujarab untuk mendapat hati yang lunak dengan Allah. Namun harus diingat, doa bukanlah usaha ‘pemberitahuan’ kehendak-kehendak kita kepada Allah ( kerana tanpa diberitahupun Allah sedia mengetahui), namun doa hakikatnya usaha ‘penyerahan’ diri kita kepada-Nya.

Orang yang berdoa ialah orang yang mengakui segala sifat kehambaannya di hadapan kekuasaan Allah. Apakah sifat-sifat kehambaan itu? Antaranya, rasa lemah, hina, jahil, miskin, berdosa, hodoh dan segala sifat-sifat kekurangan. Berdoa ertinya kita menyerah pasrah kepada Allah. Kita nafikan segala kelebihan diri. Yang kita akui hanya sifat keagungan dan kebesaran Allah. Lalu kita inginkan hanya bantuan-Nya. Kita tagihkan simpati, kasihan dan keampunan-Nya sahaja.

Hanya dengan mengaku lemah di hadapan Allah kita akan memperolehi kekuatan. Hanya dengan mengaku miskin di hadapan Allah kita akan dikayaka-Nya. Tegasnya, hanya dengan merasai segala sifat kehambaan barulah kita akan mendapat kekuatan, kemuliaan dan kelebihan dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.

Bila Allah telah hadiahkan kasih dan rindu-Nya kepada kita, kita akan merasa kebahagiaan dan ketenangan yang tiada taranya lagi. Dalam apa jua keadaan kita akan mendapat ketenagan. Susah, kita sabar. Senang, kita syukur. Kita bersalah, mudah meminta maaf. Jika orang meminta maaf, kita sedia dan rela pula memaafkan. Alangkah bahagianya punya keikhlasan hati yang sebegini?

Itulah hakikatnya syukur – pada lidah, hati dan amalan. Syukur dengan lidah, mengucapkan tahmid (pujian) kepada Allah. Syukur dengan hati, merasakan segala nikmat hakikatnya daripada Allah bukan daripada usaha atau ikhktiar diri kita. Tadbir kita tidak punya apa-apa kesan berbanding takdir Allah. Dan akhirnya syukur dengan tindakan, yakni menggunakan segala nikmat daripada Allah selaras dengan tujuan Allah mengurniakan nikmat itu.

Jika Allah berikan harta, kita gunakan ke arah kebaikan dan kebajikan. Jika diberi ilmu, kita mengajar orang lain. Diberi kuasa, kita memimpin dengan adil dan saksama! Syukur itulah tujuan utama kita dikurniakan nikmat. Ertinya, kita kembalikan nikmat kepada yang Empunya nikmat (Allah).


sumber :genta-rasa.com

p/s : sekadar perkongsian dengan sebahagian rakan-rakan yang sedang mencari penyelesaiannya..:)
Sunday, October 25, 2009

Exam bukanlah segala-galanya..

Selepas makan bersama pada malam tadi,saya,Amar dan Us Idris berbincang apa aktiviti yang ingin dilakukan bagi mengelakkan daripada terkena sindrom-sindrom yang luar biasa berlaku kepada insan-insan yang akan menduduki peperiksaan..setelah mendapatkan keputusan,akhirnya kami bersepakat...(ESOK KITA PERGI PORT DICKSON)..

Jam 7 pagi, kami berkumpul dan bertolak bersama-sama ke port dickson meninggalkan rakan-rakan yang masih `fana`(ayat yang saya belajar dari amar) dengan gelombang peperiksaan yang akan tiba..akan tetapi yang peliknya, mengapa kami bertiga tidak merasai simptom-simptom yang yang mereka semua alami??..

Jam 8 pagi,kami tiba di port dickson..indah sungguh panoramanya..benar-benar menenangkan perasaan kami..hilang dari kebisingan kota..hilang dari `tension study`..dan yang penting,hilang dari `rakan-rakan yang secara tiba-tiba berubah feel dan tingkahlakunya`..hehe

Jam 9 pagi,kami sedang bersantai-santai di tepi pantai sambil menikmati keindahan alam semulajadi ciptaan Ilahi..kicauan burung-burung yang mengindahkan suasana, sambil melihat nelayan mencari rezeki..juga melihat keluarga yang berbahagia sedang bermesra-mesra bersama anak kecilnya,indahnya hidup bersama keluarga:)..benar-benar menghilangkan rasa stress kami melihat rakan-rakan yang berkelakuan luar biasa yang kami tinggalkan di bangi sana tu..:)..

Jam 9.30 pagi,kami masuk ke dalam laut sambil berenang-renang mengikut alunan ikan-ikan di sana,terasa segar dan nyaman sekali..bermain-main air,terapung di atas air..sangat menyegarkan dan menggembirakan hati kami..

Jam 10.00 pagi,akhirnya kami pun bersiap-siap dan bergegas pulang ke bangi..kami kembali ke tempat di mana rakan-rakan kami yang luar biasa ni masih lagi meneruskan aksi-aksi mereka di sini...

Jam 11.00 pagi,kami tiba dari Port Dickson membawa pengalaman yang sangat indah sekali..walaupun peperiksaan akan tiba esok hari,namun itu bukan alasan kepada kami untuk pergi ke sana..pada kami,peperiksaan bukanlah segala-galanya..apa yang penting,kefahaman terhadap ilmu tersebut..buat amar,Enta memang terbaik..walaupun hari isnin exam,tapi enta tidak menganggap exam sebagai alasan untuk hang beriadhah bersama-sama kami...

Apa yang pasti, kami tidak akan berubah menjadi luar biasa,seperti rakan-rakan yang berada di sekitar kami..:)

(p/s : minggu depan kita gi Port Dickson lagi,ada sesiapa nak follow??)


Amar dan Us Idris bahagia di tepi pantai


Amar dan Us Idris tenang di dalam air..:)


Saya juga tidak melepaskan peluang `bahagia` bersama-sama us Idris dan Amar di dalam laut..


saya sedang memerhatikan ikan paus bermain bersama anak-anaknya..


Wajah Amar yang langsung tidak gentar dengan peperiksaan..(all out)..hehe
Tuesday, October 20, 2009

Mencari kebijaksanaan yang hilang

`Nazri,kumpulkan ahli usrah,kita buat usrah petang ini` kata ust Idris kepada saya petang tadi..Selepas menyelesaikan peperiksaan mid term yang dibuat hampir kepada final exam, saya terus bergegas menghubungi rakan-rakan usrah untuk berkumpul..

Pada permulaannya, dicadangkan untuk berbincang dan berbahas tentang kisah-kisah di dalam surah kahfi,tetapi disebabkan masalah tertentu maka Ust Idris membuka tajuk perbincangan `Mencari Hikmah yang hilang`..Satu tajuk yang tidak pernah saya terbayang untuk membincangkannya..mungkin kita sudah biasa mendengar ungkapan manusia ketika dilanda musibah sebagai contoh "sabarlah,ada hikmahnya di sebalik itu"..mungkin perbincangan pada petang ini akan memberikan satu maklumat baru kepada saya..

Mencari `WISDOM` ?

Data => Information => Knowledge => WISDOM..satu formula yang dikongsi oleh ust Idris yang membuatkan diri saya tertanya apakah maksud tersirat disebalik yang tersurat..Melalui perbincangan ringkas sesama rakan-rakan, data adalah merupakan simbol dan ianya tidak boleh berdiri di atas diri sendiri..kemudian,Information pula ialah maklumat ringkas terhadap Data tersebut yang akhirnya mencapai tahap knowledge(kefahaman)..Hasil daripada gabungan ketiga-tiga item ini boleh mencapai tahap wisdom(kebijaksanaan) hanya bagi mereka yang terpilih..

Bagaimana menjadi yang terpilih?

Persoalannya disini, apakah kita ini tergolong hanya setakat knowledge atau mungkin boleh jadi hanya sekadar tahap information atau tidak mustahil hanya sekadar berada di setakat data sahaja..? Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah al-Baqarah (269) yang bermaksud :

"Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Mencapai kebijaksanaan adalah menjadi harapan kepada setiap orang mukmin. Maka bertepatanlah dengan kata hukama yang berbunyi "Hikmah adalah barang yang tercicir dari orang Mukmin,barangsiapa yang menjumpainya maka ia berhak untuk mendapatkannya"..Melihat kepada putaran sejarah kegemilangan Islam pada zaman dahulu, kita dapat melihat kejayaan demi kejayaan yang telah dilaksanakan oleh sarjana Islam bahkan kita merasa bangga apabila kisah-kisah kejayaan Islam pada masa lampau diceritakan semula..siri-siri kejayaan dan kemenangan di pihak Islam dari pelbagai aspek menjadi satu pengajaran dan hikmah kepada orang Islam itu sendiri malah non Muslim juga mengambil hikmah yang terdapat di sebalik peristiwa-peristiwa yang telah berlaku pada zaman dahulu..

Persoalannya di sini, kemanakah perginya hikmah di sebalik kejayaan Islam pada zaman dahulu..?apakah mukmin pada hari ni hanya sekadar melihat kejayaan non Muslim yang telah berjaya melalui hikmah yang dipetik daripada kisah kejayaan Islam pada masa dahulu?

Tidak inginkah kita menjadi al-Fateh yang kedua,al-Ayyubi yang kedua??

Kesimpulan

Sebagai bakal pewaris kepimpinan keluarga,negara dan bangsa, maka penyelesaian terbaik ialah mencari hikmah yang telah tercicir dari sirah yang telah berlaku dan latihlah diri supaya berfikir diluar kotak atau di dalam kata lain, menafsir sesuatu dengan melihat apakah maksud yang tersurat di sebalik yang tersirat..
Saturday, October 17, 2009

Antara Dakwah dan Siasah : Mana yang perlu di dahulukan?

sekadar ingin berkongsi pandangan dengan sahabat2..melihat kepada kepentingan semasa pada masa sekarang..mana kah yang lebih patut di aulakan?apakah dakwah itu sesuai dan penting mendahului siasah atau siasah itu lebih penting mendahului dakwah?

mungkin terdapat pro kontra terhadap statement di atas, maka mohon respon rakan-rakan supaya masing-masing menjadi lebih faham akan dasar perjuangan asal..:)
Friday, August 28, 2009

Wacana Pemikiran Syed Qutb..

Updates Via E-Mail

Video