Monday, December 21, 2009

Kemahiran Meliterasi Media : Keperluan yang dilupakan



Media merupakan salah satu medium yang sangat penting pada masa kini dalam menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat umum. Penggunaan medium ini dilihat dilaksanakan secara maksimum oleh pihak-pihak tertentu umpamanya pihak kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan informasi kepada masyarakat dan rakyat. Begitu juga dengan pelbagai agensi dan pihak tertentu yang melihat keberkesanan dan pengaruh media ini kepada masyarakat.

Instrumen Media Masa Kini

Satu demi satu bentuk dan alat komunikasi yang tumbuh pada akhir-akhir ini umpamanya facebook,twitter,blog dan sebagainya yang mana fungsi dan tujuan dicipta adalah tidak lain dan tidak bukan mempunyai agenda yang sangat penting antaranya mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap sesuatu perkara yang ingin dibawa oleh individu yang mengamalkan medium ini. Dalam satu kajian yang berkaitan dengan pengamalan media baru ini,peratus kesedaran penggunaan media baru sangat tinggi iaitu hampir 92% dan golongan yang berumur di kalangan 18 hingga 35 tahun mendominasi dan mengamalkan medium ini. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang dilihat terlepas pandang oleh masyarakat Malaysia khususnya iaitu bagaimana meliterasi media .



Apa itu literasi media?

Saya datangkan contoh “ surat khabar iaitu salah satu bentuk media tradisional, dibeli oleh seseorang individu dan beliau membaca akhbar tersebut dengan memahami dan dapat menilai keabsahan maklumat tersebut.” Baiklah, proses yang dilakukan oleh individu tersebut dalam menilai maklumat tersebut adalah literasi media. Tidak dinafikan bahawa peratus penggunaan internet amat tinggi namun kegagalan dalam menilai dan menganalisis maklumat dengan tepat adalah sangat berkurangan dan dikatakan juga dalam kajian tersebut hanya sekitar 30-40% sahaja.

Penguasaan Media Baru

Sebagai seorang mahasiswa yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang, sangat wajar kepada kita untuk menguasai dan memanfaatkan media baru ini. Walaupun Malaysia dikatakan hampir keseluruhan penduduknya bijak dalam menggunakan internet,namun satu keperluan yang mungkin terlepas pandang adalah bagaimana mengurus dan menilai maklumat yang diterima. Selain itu,penggunaan media baru juga perlu bijak dan tidak melepaskan walaupun sedikit manfaatnya. Lihat sahaja Burkina Faso,sebuah negara yang agak terkebelakang berbanding Malaysia,berjaya memanfaatkan media baru ini dengan berjaya memasarkan produk mereka hingga ke antarabangsa. Jika mereka berjaya memahami dan memanfaatkan fungsi dan peranan media baru ini, mengapa tidak kita,yang bergelar mahasiswa intelektual,menjadikan medium ini sebagai instrument utama dalam menyampaikan maklumat yang benar dan sahih kepada masyarakat.

Konklusi

Mahasiswa yang bijak adalah mahasiswa yang bijak menilai sesuatu perkara khususnya dalam bacaan media masa kini. Tidak dinafikan kehebatan propaganda media pada masa kini sangat kuat,namun ia bukanlah alasan untuk kita tidak mempelajari dan menguasai media pada masa kini. Lebih bermakna lagi apabila kita dapat mengimbangi peratusan penggunaan internet dengan kemahiran meliterasi media dengan baik. Maka tidak mustahil,akan lahirlah masyarakat yang lebih bijak dan cerdik pada masa akan datang. Namun,sekiranya mahasiswa masih malas dan tidak berusaha untuk mempelajari ilmu-ilmu ini,khususnya dalam ilmu media ini,cubalah bayangkan apalah yang akan berlaku pada masa hadapan?apakah kita ini masih ditipu dan terus ditipu dan diperdayakan dengan mudah??Fikirkanlah bersama…
Friday, December 18, 2009

Mahasiswa perlu mengubah paradigma

Awal Muharam menjelang tiba. Hampir 1431 tahun Rasulullah s.a.w telah meninggalkan kita di dalam meneruskan perjuangan menegakkan Islam di atas muka bumi ini. Siri-siri perjuangan Rasulullah s.a.w dahulu wajar di ambil pengajaran oleh umat Islam pada masa kini di dalam merebut hikmah yang tersembunyi disebalik setiap peristiwa tersebut dan mengaplikasikannya di dalam kehidupan masa kini.

Rahsia di sebalik hijrah Rasulullah

Umum mengetahui bahawa tanggal 1 Muharam, Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar,sahabat karib baginda berhijrah ke Madinah atas perintah Allah dalam melebar luaskan Islam dan menubuhkan Negara Islam pertama di sana. Namun,wujud strategi-strategi yang Rasulullah gunakan dalam meneruskan perjalanan ke Madinah. Antaranya, mengapa Rasulullah memilih Abu Bakar sebagai peneman baginda? Ini adalah kerana Abu Bakar adalah pakar di dalam mengenal pasti kedudukan dan koordinasi penduduk Mekah pada waktu itu. Maka, sudah tentulah pergerakan baginda dan Abu Bakar pada malam baginda keluar untuk berhijrah menjadi lebih mudah dan teratur serta aman daripada gangguan dan ancaman musuh..dan terdapat lebih banyak lagi rahsia-rahsia dan kebijaksanaan baginda dalam mengatur strategi di dalam melaksanakan sesuatu dan perkara ini boleh dirujuk di dalam Manhaj Haraki tulisan Syeikh Munir Ghadhban..

Keperluan mahasiswa berfikiran Lateral

Melihat kepada kebijaksanaan baginda di dalam melakukan setiap perkara, maka, tidak dapat tidak, mahasiswa/i khususnya mahasiswa Islam sewajarnya mengambil setiap hikmah yang baginda tinggalkan untuk dilaksanakan dan diaplikasikan pada masa kini. Baginda tidak terburu-buru di dalam melaksanakan sesuatu dan baginda juga mempunyai visi yang jelas dalam setiap perkara yang dilakukan. Perkara ini perlu dicontohi oleh mahasiswa/i Islam pada masa kini di dalam menongkah arus cabaran yang dilalui oleh umat Islam di dalam menegakkan Islam pada zaman ini. Mahasiswa mesti cepat berfikir dan cepat bertindak dan melakukan sesuatu bukan mengikut emosi semata-mata tetapi bersandarkan kepada ilmu dan fakta yang tepat. Mahasiswa/i juga perlu berusaha untuk mengeluarkan idea yang lebih kreatif dan bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan tidak seharusnya menjadikan jawapan bagi persoalan yang sama diteruskan. Lebih bijak lagi,sekiranya di datangkan idea baru dalam menyelesaikan fakta tersebut.

Azam Baru 1431 Hijrah

Datangnya tahun baru, maka setiap insan pastinya mempunyai azam baru di dalam memajukan diri kearah lebih terkehadapan lagi. Maka,mahasiswa/i Islam khususnya memanfaatkan azam dan semangat tahun baru hijrah ini dengan memperkuatkan tenaga dan usaha di dalam menambah thaqafah dalam diri dan menyediakan keperluan-keperluan yang perlu ada dalam setiap mahasiswa Islam sebelum turun ke masyarakat untuk dimanfaatkannya. Teringat kata-kata ulama “ Orang yang baik adalah apabila di campakkan ke laut menjadi pulau, dan apabila dicampak ke tanah menjadi bukit”..teringat juga keluhan seorang tok guru salah sebuah pondok “ sedih melihat umat Islam zaman sekarang,tidak sedar bahawa mereka telah ditipu dan diperdayakan oleh syaitan nyata dan tidak nyata,maka menjadi satu kewajipan masyarakat Islam yang faham dan jelas tentang Islam untuk memberikan kefahaman kepada mereka yang telah diperdayakan”..Justeru, manfaatkanlah azam tahun baru ini dengan berusaha bersungguh-sungguh supaya menjadi seorang mukmin yang berjaya dan berguna untuk Islam untuk masa hadapan.

Updates Via E-Mail

Video