Saturday, March 13, 2010

Penularan Virus hedonisme di kalangan mahasiswa : Punca dan Vaksinnya


Mutakhir ini,kita dapat lihat di media massa terlalu banyak masalah yang berlaku, isu-isu yang melibatkan masyarakat kini menjadi semakin parah.Masyarakat semakin kurang sensitiviti terhadap perkara-perkara seperti ini sehingga kita melihat isu-isu seperti ini seolah-oleh menjadi suatu rutin dalam akhbar-akhbar dan ianya bukan lagi dilabelkan sebagai isu hangat sepertimana pada satu ketika dahulu.Ke mana hilangnya sensitiviti ini?

Dari Mana Datangnya Hedonism ini?

Jika perkara ini dikaji dari sudut sejarah,seolah-olah masyarakat pada hari ini sudah kembali ke zaman jahiliah atau zaman kegelapan. Seperti yang tercatat dalam buku-buku sejarah dahulu,masyarakat Arab juga dikatakan hebat dari sudut teknologi dan sebagainya,namun soal akhlak dan sahsiah yang tidak terjaga menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang bersalahan dengan fitrah manusia sepertimana masalah buang anak,sumbang mahram dan sebagainya.

Kalau melihat kepada punca berlakunya perkara ini,banyak perkara yang boleh menjadi asbab kepada kemunculan virus yang berbahaya ini. Antaranya media massa,program berbentuk hiburan yang akhirnya menjadikan masyarakat tergila-gilakan mereka yang terjebak dalam bidang hiburan sehinggakan dianggap sebagai satu idola besar.Bahkan kalau kita lihat pada situasi sekarang ini,semakin melambak program berbentuk hiburan malah lebih galak lagi dilangsungkan.Kalau di kampus misalnya,program yang berbentuk hiburan ini lebih banyak dilaksanakan dan lebih mendapat perhatian daripada mahasiswa/i, namun program yang berbentuk ilmiah langsung sikit jumlahnya.Saya tidak menghalang program ini diadakan,tetapi saya melihat ia terlalu melampaui batas.Banyak perkara yang saya kurang bersetuju dalam program-program tersebut. Sebagai contoh percampuran lelaki perempuan yang tiada kawalan atau batasannya, diajak untuk turut menjadi seperti binatang, terkinja-kinja sana sini. Malah apa yang lebih buruk apabila majlis-majlis ini dibukakan dengan bacaan doa untuk menunjukkan ianya seolah-olah sangat digalakkan oleh agama serta program ini bakal mendapat rahmat dan berkat dari Ilahi.Ini yang membuatkan saya kurang bersetuju.

Vaksin yang mampu menghapuskan virus

Saya tidak menolak hiburan tetapi dalam Islam juga terdapat garis panduan tentang tatacara dalam berhibur.Soal pergaulan,batas-batas hiburan,semuanya ada dalam Islam.Islam memang lengkap dari setiap aspek.Mungkin selepas ini,perlunya perkasakan program-program yang mampu memberikan kesedaran tentang perkara ini bagi mengelakkan gejala-gejala sosial menjadi semakin parah.Mungkin siri-siri penerangan tentang isu ini perlu dipertingkatkan.Peranan dari pelbagai pihak sangat penting dalam membentuk persekitaran yang lebih kondusif. Misalnya kalau di kampus kita mempunyai Pentadbiran,HEP,Pengetua,Felo,Jaksa dan mahasiswa itu sendiri yang perlu menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam membendung gejala sosial di peringkat kampus.

Besar harapan saya sekiranya dapat melihat UKM khususnya menjadi satu universiti yang benar-benar melahirkan generasi yang menjadi aspirasi kepada rakyat.Matang dari sudut ilmunya, hebat dari sudut akhlaknya, malah baik dari sudut sahsiahnya.Soal kejayaannya pula perlu kepada usaha semua peringkat samada dari sudut pentadbiran,persatuan pelajar,jawatankuasa kolej dan sebagainya, barulah visi ini boleh digapai.Kalau hanya segelintir pihak sahaja yang memperjuangkan,mana mungkin ianya akan berhasil.

Maka dengan itu,harapan daripada pejuang-pejuang terdahulu yang menuntuk kepada penubuhan UKM ini akan tercapai lantaran terlaksananya usaha-usaha dari pelbagai peringkat dalam membendung masalah ini.Mudah-mudahan usaha yang dibawa oleh pihak-pihak yang ingin melihat generasi mahasiswa yang lahir pada saat ini menjadi `HERO` utama dalam masyarakat serta apa yang diperjuangkan ini diterima dan dibantu oleh Allah s.w.t .

Updates Via E-Mail

Video